CONTOH KARANGAN PERIBAHASA
Arahan:baca dan jadikan contoh dan tidak perlu disalin.Hanya buat sendiri sahaja karangan tajuk ini tanpa meniru jalan cerita dan olahan.
Karangan: "Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih"
Peribahasa ‘hendak seribu daya, tak
hendak seribu dalih’ bermaksud jika kita hendak melakukan sesuatu, kita akan
menyempurnakannya dengan sedaya upaya kita dan demikian juga sebaliknya. Maksud
peribahasa ini dapat dijelaskan dengan cerita yang dapat menggambarkan
keinginan seseorang yang melakukan sesuatu dengan segala keupayaannya dan
demikian juga sebaliknya.
Dalam sebuah kampung tinggal sepasang
suami isteri iaitu Pak Cik Dasuki dan Mak Cik Timah. Mereka mempunyai dua orang
anak lelaki. Anak lelaki yang sulung bernama Harris manakala yang bongsu
bernama Adnin. kedua-dua orang anak mereka mempunyai sikap yang amat berbeza.
Adnin merupakan seorang pelajar yang rajin berusaha dan mendengar kata
kedua-dua ibu bapanya. Tidak seperti adiknya, Harris pula bersikap sebaliknya.
Jika disuruh oleh ibu bapanya, ada-ada sahaja alasan yang diberikan oleh Harris
untuk mengelakkan diri daripada melakukan kerja berkenaan.
Kedua-dua orang anak Pak Cik Dasuki
dan Mak Cik Timah akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini. Harris
akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, manakala adiknya pula akan
menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah. Pak Cik Dasuki selalu
menasihati kedua-dua orang anaknya agar gigih berusaha supaya berjaya dengan
cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Setiap petang sekembalinya dari
sekolah, selepas makan tengah hari Adnin akan berehat sebentar sebelum membantu
ibu bapanya di warung di hadapan rumah mereka. Harris pula hanya sekali sekala
membantu ibu bapanya. Sekiranya disuruh, Harris akan memberikan alasan bahawa
dia penat kerana baru kembali dari sekolah. Ada kalanya, dia akan memberitahu
ibu bapanya bahawa dia perlu menyiapkan kerja sekolahnya. Namun hakikatnya, dia
hanya ‘melepak’ di rumah atau tidur sepanjang petang.
Setiap malam, selepas makan malam,
walaupun agak letih kerana membantu ibu bapanya di warung, Adnin akan mengulang
kaji pelajarannya ataupun menyiapkan kerja sekolahnya. Dia tidak bertangguh
untuk menyiapkan kerja rumahnya. Sekiranya tidak faham akan pelajaran yang
diulang kaji, Adnin akan cuba merujuk kepada Harris. Namun Harris kerap
memberikan alasan bahawa dia tidak tahu ataupun tidak ingat lagi akan pelajaran
tersebut. Maka terpaksalah Adnin pergi ke rumah Cikgu Habib di sebelah rumah
mereka untuk menyelesaikan masalahnya. Begitulah yang kerap dilakukan
oleh Adnin. Dia berusaha dengan pelbagai cara bagi memastikan hajatnya
tercapai.
Di sekolah, Harris memiliki satu
sikap yang kurang digemari oleh rakan-rakan dan gurunya. Sekiranya gagal
memperoleh markah yang baik dalam sesuatu mata pelajaran, dia akan menyalahkan
gurunya dengan alasan guru mata pelajaran berkenaan kurang berkesan dalam
pengajarannya. Dia tidak akan menyalahkan dirinya sendiri yang kurang mengulang
kaji pelajaran di rumah. Hal ini berbeza dengan adiknya Adnin yang akan
mengenal pasti kelemahannya sendiri dalam mengulang kaji pelajaran sekiranya
dia memperoleh markah yang rendah dalam sesuatu ujian. dengan demikian, Adnin
sentiasa dapat membaiki pencapaiannya dalam pelajaran dari semasa ke semasa.
Akhirnya dalam Pentaksiran Tingkatan
Tiga yang diduduki oleh Adnin, dia berjaya memperolehi keputusan yang
cemerlang. Dia berjaya melanjutkan pelajarannya ke sebuah sekolah berasrama
penuh. harris pula memperoleh keputusan yang kurang memuaskan dalam
peperiksaannya. Dia juga gagal melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi
pengajian tinggi. Dia terpaksa duduk di kampung membantu ibu bapanya berniaga
di warung.
Daripada cerita itu, dapatlah kita
membuat penilaian bahawa untuk mencapai keinginan kita, kita perlu berusaha
dengan gigih lagi bagi mencapainya bukannya memberikan pelbagai alasan
sekiranya kita mengalami kegagalan. begitulah yang dikatakan orang ‘hendak
seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
Disediakan oleh:
Puan Hamsiah binti Juki
1 September 2015
Okey..! Ete dilarang tengok... by:Aleng
ReplyDelete〈(•ˇ‿ˇ•)-→
ReplyDelete