Soalan Pemahaman.

Kerja untuk isnin 30.Januari 2012

Mak Limah tersenyum puas dan bangga. Setelah bertahun-tahun belajar dan kini bergelar siswazah, susah payah Mak Limah selama ini terbalas dengan kejayaan Azman. Itulah hadiah yang tidak ternilai dapat diberikan oleh seorang anak kepada ibunya.
Memang patut Mak Limah berasa bangga. Lebih-lebih lagi Azman merupakan orang pertama berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Sudah tentu kejayaan ini menjadi dorongan kepada anak-anak kampung tersebut untuk mengikuti jejaknya.
Selama empat tahun Azman belajar, selama itulah Mak Limah bertungkus lumus dan sentiasa mengikat perut demi masa hadapan anaknya itu. Namun demikian, kegembiraan Mak Limah sekejap sahaja. Ia berasa kecewa apabila mengetahui bahawa Azman tidak mahu mengerjakan kebun kelapa sawit peninggalan arwah suaminya.
“Apa guna kebun kelapa sawit itu jika tidak dikerjakan? Bukankah kamu lulusan dalam bidang pertanian? Sesuai benarlah kerja itu dengan kamu,” kata Mak Limah memberi penjelasan panjang lebar kepada anaknya.
“Azman lepasan universiti, ibu. Bertahun-tahun Azman memerah otak. Takkan Azman hendak bermandi peluh di kebun kelapa sawit itu pula. Lagipun apa pula kata orang kampung nanti,” kata Azman kepada ibunya. “Mengapa? Hina sangatkah kerja-kerja itu? Kalau kena caranya, kerja-kerja itu akan memberikan pulangan dan pendapatan yang lumayan kepada kita,” Mak Limah terus menasihati anak kesayangannya itu.
Namun, Azman tetap dengan pendiriannya. Dia pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan. Setelah tiga bulan di sana, Azman gagal mendapat sebarang pekerjaan yang diimpikannya. Kepayahan hidup yang dialami di ibu kota banyak mengajar Azman erti kehidupan. Dia terkenang akan ibunya di kampung. Timbul rasa keinsafan di sanubarinya. Segala kata ibunya terngiang-ngiang kembali di telinganya.
Azman bertekad untuk pulang ke kampung. Dia sedar akan kesilapannya yang lalu dan kata-kata ibu ada benarnya. Dia berazam untuk mengusahakan kebun kelapa sawit peninggalan arwah ayahnya. Dia ingin menjadi petani moden yang berjaya.

1.Apakah gambaran watak yang paling sesuai diberikan kepada Mak Limah dalam perenggan pertama petikan di atas?

2.Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “jejaknya” dalam petikan yang diberikan?

3.Apakah yang memungkinkan Azman mengambil keputusan untuk pulang ke kampung?

4.Apakah nasihat mak Limah kepada Azman?

5.Apakah pengajaran yang dapat diperoleh daripada petikan tersebut?

Comments

Popular Posts