SAJAK HARI GURU ( KOMSAS TINGKATAN 2 )

PERBINCANGAN SAJAK

Perbincangan

               i

          Hari ini
          adalah hari kita
          menjunjung amanah
          sandaran harapan insan berjuta
          memikul misi murni
          mengasuh mendidik
          tunas bangsa
                harapan nusa.

Hari guru yang disambut pada tanggal 16 Mei saban tahun adalah lambang amanah yang dijunjung oleh kaum guru. Mereka menjadi sandaran harapan masyarakat bagi memikul misi murni, iaitu mengasuh dan mendidik generasi muda harapan negara.

                ii

          Hari ini
          adalah hari yang menuntut kita
          bertafakur
          apakah tiang azam
          masih tegak kukuh
          apakah perdu semangat
          tak tergoncang ribut
          ataukah langkah kita
          sudah pincang tertusuk
          duri-duri duga?

Hari Guru juga dijadikan hari bermuhasabah (menilai diri sendiri, introspektif) sama ada azam yang dibina semasa melamar kerjaya keguruan masih bertahan dan kekal, atau tergugat. Adakah semangat keguruan masih kental dan tidak mengalah kepada cabaran? Adakah telah timbul masalah hingga berlaku kepincangan kerana tewas dengan pelbagi dugaan yang datang?

               iii

          Hari ini
          ada bunga dikalungkan
          ada puji dilafazkan
          ada jasa dikenang
          ada salam dihulur
          tanda hormat
                 pada insan yang bergelar GURU.

Sempena sambutan hari guru, pelbagai bentuk hadiah, sanjungan, ucapan terima kasih, dan huluran tangan bagi menghormati insan yang bergelar guru.


Tema:
Sajak ini mengemukakan tema tentang penghargaan kepada para guru melalui sambutan Hari Guru.
Persoalan:
1. Persoalan peranan guru mendidik anak bangsa.
2. Persoalan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita.
3. Persoalan kesedaran tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul.
4. Pesoalan tugas guru yang sentiasa dikenang dan dihargai.
Gaya Bahasa:
1. Personifikasi
  • Contoh: adalah hari yang menuntut kita. ( R 2 b2 )
2. Metafora
  • apakah tiang azam ( R2 b4 )
  • tunas bangsa ( R 1 b8 )
3. Anafora
  • ada bunga dikalung
  • ada puji dilafaz
  • ada jasa dikenangkan ( R2 b2 hingga 3 )
4. Asonansi
  • adalah hari kita ( R1, b2 ) Pengulangan vokal 'a'
5. Aliterasi
  • masih tegakukuh ( R2 b5 ) Pengulangan konsonan 'k'
Bentuk:
  1. Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
  2. Rima akhir bebas.
  3. Jumlah perkataan sebaris antara dua hingga lima patah kata.
  4. Jumlah suku kata sebaris antara empat hingga sebelas suku kata.
  5. Jumlah baris serangkap adalah bebas. Contohnya: ( Rangkap 1 - ada sembilan baris, Rangkap 2 - ada sepuluh baris dan Rangkap 3 -ada tujuh baris )
Nada:
Nada sajak ini patriotik.
Nilai:
1. Nilai amanah
  • Para guru memikul amanah para ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
2. Nilai tanggungjawab
  • Guru-guru bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas / tanggungjawab mereka untuk membimbing anak bangsa.
3. Nilai penghargaan
  • Jasa guru dihargai dan dikenang melalui sambutan hari guru.
4. Nilai kesedaran
  • Para guru sepatutnya sedar akan tugas dan peranan mereka dalam mendidik pelajar.
Pengajaran:
  1. Para guru hendaklah menunaikan amanah ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka.
  2. Kita hendaklah menghargai peranan para pendidik ( guru ) dalam usaha mendidik dan memberi ilmu kepada anak bangsa kita - sambutan hari guru merupakan salah satu cara yang dilakukan bagi menghargai para pendidik.
  3. Para guru hendaklah sedar peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.
  4. Kita hendaklah mengenang jasa orang yang banyak memberi ilmu kepada kita - jasa para guru hendaklah sentiasa dikenang.
LATIHAN:

1.Berdasarkan sajak di atas,apakah harapan ibu bapa terhadap guru?

_________________________________________________________________________________________

_________________________________________________________________________________________

2.Nyatakan tiga nilai yang terkandung dalam sajak di atas?

_________________________________________________________________________________________

_________________________________________________________________________________________

3.Pada pendapat anda, bagaimanakah anada menyatakan penghargaan terhadap pengorbanan guru?

_________________________________________________________________________________________

_________________________________________________________________________________________

Comments

Post a Comment

Popular Posts