MINGGU 31 ( 1 SEPTEMBER HINGGA 5 SEPTEMBER ) WARKAH KEPADA GENERASI

Arahan: Salin dalam buku Antologi sebelum sesi pembelajaran pada minggu 31.

WARKAH KEPADA GENERASI
(Amiruddin Md Ali Hanafiah)
MAKSUD

Rangkap 1
Penyajak menjelaskan bahawa generasi muda sebagai golongan yang beruntung kerana hidup pada zaman sekarang.  Mereka hidup sebagai bangsa yang bermaruah di negara yang merdeka.

Rangkap 2
Penyajak mengingatkan generasi muda yang berilmu bahawa negara yang didiami oleh mereka sekarang merupakan hasil perjuangan nenek moyang mereka yang berusaha mendapatkan kemerdekaan negara.

Rangkap 3
Penyajak mengakhiri pesanannya agar kita semua tidak melupakan sejarah negara.

TEMA
Sajak ini mengemukakan tema peringatan dan pesanan kepada golongan muda/generasi sekarang tentang sejarah kemerdekaan negara.

PERSOALAN
1.    Persoalan generasi muda yang bertuah kerana dapat hidup di sebuah negara yang merdeka.
2.    Persoalan kemerdekaan negara merupakan hasil perjuangan dan pengorbanan nenek moyang kita.
3.    Persoalan kepentingan sejarah kemerdekaan negara.

 GAYA BAHASA

1.      Metafora 
tanah merdeka (Rangkap 1, baris 5)
istana merdeka (Rangkap 2, baris 5)
akar sejarah (Rangkap 3, baris 2)
2.      Sinkope
ingin kuingatkan: jangan biarkan akar sejarah (Rangkap 3, baris 2)
3.      Asonansi
dengan keberanian sebagai bangsa bermaruah. (Rangkap 1, baris 4)
pengulangan vokal ’a’
4.      Aliterasi
 tercabut dari bumi bertuah ini. (Rangkap 3, baris 3)
pengulangan konosonan ‘t’.

NADA
Sajak ini bernada patriotik.

BENTUK
1.      Sajak ini terdiri daripada tiga rangkap.
2.      Rima akhir bebas.
3.      Jumlah baris serangkap bebas
Contohnya : Rangkap 1-5 baris,  Rangkap 2 – 5 baris dan Rangkap 3 – 3 baris).
4.      Jumlah perkataan sebaris adalah antara dua hingga tujuh patah kata.
5.      Jumlah suku kata sebaris adalah antara tujuh hingga enam belas suku kata.

 NILAI
1.    Nilai kesyukuran
Penyajak mengajak generasi muda bersyukur dengan nikmat kemerdekaan negara.
2.    Nilai pengorbanan
Nenek moyang kita sanggup berkorban demi mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah.
3.    Nilai cinta akan negara
Semangat cinta akan negara amat penting dalam diri seseorang agar kita sama-sama dapat berusaha untuk memajukan negara.

  
PENGAJARAN
1.      Kita hendaklah menghargai nikmat kemerdekaan negara agar kita tidak lupa untuk mempertahankannya.
2.      Kita perlulah sanggup berjuang dan berkorban demi kemerdekaan negara.
3.      Kita seharusnya sedar betapa pentingnya kemerdekaan kepada negara agar negara kita tidak lagi dijajah pada kemudian hari.

4.      Kita janganlah lalai dengan nikmat dan kesenangan yang kita nikmati selama ini kerana kelalaian tersebut boleh menyebabkan kita kembali dijajah oleh musuh.

Disediakan oleh:
Puan Hamsiah binti Juki
25 Ogos 2015

Comments

Popular Posts